ariel ADMINISTRATORS b>
Posts : 70 Points : 22691 Reputation : 0 Join date : 11/11/2010
| Subject: 2 gangsa pembuka semangat Sun Nov 14, 2010 1:36 am | |
| GUANGZHOU - Walaupun cuma gangsa, namun dua pingat yang mewarnai hari pertama Sukan Asia XVI menerusi penembak senior, Nur Suryani Mohamed Taibi dan bintang wusyu remaja, Tan Cheau Xuen semalam menyuntik semangat kontinjen Malaysia untuk memulakan pemburuan sembilan pingat emas yang disasarkan di Guangzhou.
Sememangnya tiada acara yang disasarkan emas pada hari pembukaan, malah kejayaan Nur Suryani menghadiahkan pingat pertama Malaysia sebenarnya dianggap bonus kerana saingan 10 meter air rifle individu wanita tidak berada dalam prospek untuk menyumbang pingat memandangkan cabaran yang hadir adalah bertaraf dunia, terutama penembak tuan rumah.
Gangsa milik Nur Suryani selepas membidik 501.8 mata, tewas kepada dua penembak China, Yi Siling (504.9) dan Wu Liuxi (502.8). Kejayaan Nur Suryani bagaimanapun gagal dikongsi pasangan emasnya, di Sukan Komanwel, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim yang menghuni tangga ke-52 selepas bergelut dengan demam dan sakit kepala.
Sementara itu, wusyu menepati janjinya untuk menunaikan satu pingat di hari pertama, cuma penyumbang pingat berbeza daripada diramalkan. Cheau Xuen menyelamatkan hari Malaysia di Gimnasium Nansha dengan persembahan terbaik untuk meraih gangsa, pada ketika peserta pilihan, Diana Bong gagal untuk mempamer aksi baik.
Di sebalik kegembiraan yang hadir di lapang sasar menembak dan gelanggang wusyu, kontinjen negara turut menerima perkhabaran kurang enak daripada dua acara paling popular dan dianggap sukan No. 1 di Malaysia - bola sepak dan badminton. Ironiknya, kedua-dua acara diadakan di gelanggang sebelah menyebelah di Kompleks Sukan Tianhe.
Di stadium bola sepak, skuad negara yang kehilangan tiga tonggak akibat layangan kad merah kalah 0-3 kepada tuan rumah China. Memang mustahil untuk mencatat keputusan yang lebih baik daripada itu apabila terpaksa menentang 11 pemain lawan dengan kekuatan 8 pemain. Mujurlah, kekalahan itu tidak memberi kesan kepada skuad negara untuk menempah tiket ke pusingan kedua dan berdepan Iran.
Nasib lebih malang dialami satu lagi acara tumpuan, badminton apabila menerima kejutan terbesar dengan kalah 2-3 kepada Thailand pada saingan berpasukan lelaki. Ia bukan saja kekalahan pertama Malaysia kepada negara jiran itu dalam mana-mana acara berpasukan dalam tempoh 30 tahun, malah menyingkirkan kita di suku akhir. Terdahulu, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei gagal mengutip mata pertama apabila dikejutkan oleh Boonsak Ponsana 21-9, 10-21, 19-21.
Di kolam renang, tidak banyak yang boleh dibanggakan. Satu rekod kebangsaan dipecahkan perenang muda, Christina Loh, manakala dua wakil Malaysia beraksi pada perlumbaan akhir. Daniel Bego layak menerusi merit dalam 200m kupu-kupu lelaki, manakala rangkaian 4x100m rampaian wanita layak tanpa mengharungi peringkat saringan. Christina mencatat kepantasan 32.22 saat pada peringkat saringan di sebelah pagi untuk memadam rekod lama miliknya sendiri 33.39s yang dilakukan di Sukan Komanwel.
Dalam satu lagi aksi tumpuan, ketiadaan Azizulhasni Awang yang terpaksa dikeluarkan pada saat akhir menyebabkan Malaysia terlepas peluang membawa pulang emas daripada pecut berpasukan. Kombinasi Mohd. Rizal Tisin, Josiah Ng dan Mohd. Edrus Md. Jusoh sekadar menamatkan kelayakan di tangga ketiga, di belakang China dan Jepun. Bermakna, mereka hanya beraksi dalam perebutan gangsa hari ini, menentang Iran.
Sementara itu, tumpuan pingat emas negara hari ini pastinya kepada ekuestrian berpasukan yang turun dengan misi memperbaiki catatan perak di Doha 2006. Malaysia dibarisi penunggang yang sama dengan empat tahun lalu, diketuai Mohd. Qabil Ambak Mahamad Fathil, Quzandria Nur Ambak, Putri Alia Soraya Ahmad Shuhaimi dan Lee Cheng Ni. Acara indvidu juga akan berlangsung hari ini.
Turut menjadi tumpuan, pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Bibiana Ng yang beraksi dalam menembak 10m air pistol wanita bersama Joseline Cheah. Bibiana bukan sandaran di Guangzhou, namun tidak mustahil kejutan Nur Suryani mampu diulangi. Berada dalam calon penyumbang pingat pastinya skuad lumba basikal pecut berpasukan lelaki. - mingguan | |
|